Friday 16 March 2012

Dalam Dunia INI

Di dalam dunia ini, tidak ada seorang manusia pun yang diciptakan Tuhan yang tidak memerlukan orang lain. Semua daripada kita membesar sambil bergantung harap kepada orang lain. Bukan saja ibu bapa kita, malah berjuta orang yang kita kenali atau tidak kenali.

Contohnya apabila kita lahir, ada jururawat, ada doktor, ada pengawal keselamatan hospital, ada makcik tukang masak, ada pencuci lantai dan sudah tentu ibu, bapa, makcik, pakcik, tokwan dan nenek kita juga membantu kita dalam mana-mana segi.

Namun apabila kita membesar kita mula untuk berubah dan berfikir bahawa kita sepatutnya 'berdikari' dan tidak bergantung harap kepada orang. Ini betul, tetapi ada hadnya.

Sewaktu saya bertanya kepada salah seorang mentor saya, "Apakah rahsia kejayaan beliau?" Beliau menjawab mudah iaitu, "Beri pertolongan jika kita boleh dan jangan segan untuk terima pertolongan jika ia dapat meningkatkan nilai dalam hidup kita."

Saya agak terkejut kerana dengan memberi pertolongan ini bermakna apa yang kita ada akan berkurangan. Namun teori ini hanya dapat difahami apabila dipraktikkan.

Jadi di sini, yang pertama adalah beri pertolongan selagi kita boleh beri pertolongan. Tak semua pertolongan akan mengurangkan apa yang kita ada. Contohnya kita tolong kawan menasihati mengenai perniagaannya, berkongsi pengalaman dan ilmu pengetahuan. Ini semua tidak mengurangkan apa yang ada pada anda. Jika ia mengurangkan sekalipun, seperti memberi sedekah atau pertolongan fizikal. Jangan risau, anda akan dapat lebih dari itu. Ini hukum alam.

No comments:

Post a Comment